PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa Kementerian Pendidikan menarik balik tindakan tatatertib terhadap guru di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh. 

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan disiplin yang dikenakan Kementerian Pendidikan itu amat mengecewakan. 

Katanya, ini kerana Mohd. Fadhli jelas bersuara bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi dengan niat yang baik berikutan memikirkan nasib yang dihadapi anak muridnya. 

“Cikgu Fadli bersuara bukan untuk kepentingan diri sendiri. Ramai juga yang pernah kongsi pasal isu-isu pendidikan di negara. Saya pernah bangkitkan beberapa kali di Parlimen mengenai isu pendidikan terutamanya hala tuju pendidikan kita.  

“Saya percaya, kerana beliau seorang guru, dia semestinya memahami dengan lebih mendalam tentang isu-isu berkaitan pendidikan. Cadangan dan solusi yang bagus pun akan datang dari dia.  

“Harap pihak Kementerian Pendidikan tarik balik lah tindakan yang dikenakan. Cari jalan tengah untuk selesaikan isu ini bersama,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, semalam. 

Jelas Syed Saddiq, mendiamkan penjawat awam bukan cara yang sebetulnya untuk diambil. 

“Ingat, tanpa guru siapa lah kita. Mereka ini semua pendidik anak bangsa. Masa depan negara tercinta kita,” ujarnya. 

Malam tadi, media melaporkan, Mohd. Fadli mendakwa dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat daripada Kementerian Pendidikan dipercayai dengan alasan sering menegur berkaitan isu persekolahan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan membabitkan silibus ‘kayangan’ tahun 1 terutamanya berkaitan subjek Matematik, jadual padat dan isu beg sekolah berat. –UTUSAN

The post Syed Saddiq minta tarik balik tindakan tatatertib kepada Cikgu Fadli appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *