PETALING JAYA: Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus dirundung malang apabila tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka India selepas dikejutkan oleh pasangan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang di New Delhi, sebentar tadi.

Turun dengan status beregu No. 10 dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan 19-21, 17-21 kepada lawan yang berada di ranking ke-27 dunia.

Kekalahan tersebut hadir seminggu selepas pasangan lelaki No. 3 negara itu disingkirkan oleh beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang berada di ranking lebih rendah  juga pada pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Menjadi harapan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, prestasi suram Sze Fei-Nur Izzuddin pastinya amat membimbangkan.

Langkah Malaysia dalam kejohanan Jelajah Dunia Super 750 yang menawarkan AS$900,000 (RM3.9 juta) itu bermula sumbang apabila seorang lagi pemainnya, Goh Jin Wei terlebih dulu disingkirkan di pusingan pembukaan.

Juara remaja dunia dua kali itu yang menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan wanita di India kalah kepada bekas juara dunia yang juga pilihan keenam, Ratchanok Intanon dari 13-21, 11-21.

Cabaran beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien juga berakhir seawal pusingan pertama selepas kalah 16-21, 9-21 kepada pasangan China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan. – UTUSAN ONLINE

The post Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir seawal pusingan pertama di India appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *