KOTA BHARU: Tabung Kebajikan Bencana ‘Pray4Press’ yang diperkenalkan oleh Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menjadi platform bagi membantu golongan wartawan di negeri yang ditimpa musibah.

Presidennya, Majidah Ismail berkata, sebagai permulaan tabung yang diwujudkan awal Disember itu telah membantu pengamal media yang terjejas dengan musibah banjir minggu lalu.

“Walaupun menjadi mangsa banjir dan berdepan dengan tekanan emosi, pengamal media tetap bersemangat demi melaksanakan tugas bagi melaporkan berita kepada masyarakat. 

SEBAHAGIAN pengamal media yang terjejas banjir menerima sumbangan yang disampaikan pihak Econsave Cash&Carry Sdn. Bhd. di Econsave Cawangan Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. – FOTO/ROSALWANI CHE SOH

“Semangat inilah menjadi ‘kekuatan’ kepada pengamal media Kelantan untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran tabung berkenaan di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Pasaraya Econsave Cash & Carry Sdn. Bhd. turut memberi sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada pengamal media yang terjejas dengan banjir.

Sementara itu, seorang pengamal media, Nur Ain Abdul Manaf memberitahu, kediamannya ditenggelami banjir setinggi dua meter sehingga paras bumbung. 

“Saya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang lebih dua minggu. 

“Namun keadaan itu tidak membuat saya tertekan, malah saya lebih bersemangat meneruskan kerja dan membuat liputan walaupun menjadi mangsa banjir. 

“Apa pun saya masih bersyukur tiada kejadian tidak diingini melibatkan keluarga dan kerugian akibat banjir ini dianggarkan lebih  RM10,000,” ujarnya. – UTUSAN

The post Tabung Kebajikan ‘Pray4Press’ bantu wartawan Kelantan ditimpa bencana appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *