JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang berada dalam tahanan di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di sini dan menunggu untuk dituduh di mahkamah dilaporkan meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 47 tahun itu mengadu sakit dan muntah-muntah pada pukul 6.20 pagi dan kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Larkin untuk mendapatkan rawatan pukul 7.45 pagi.

“Pegawai perubatan yang memberi rawatan kemudian mengesahkan kematian lelaki tersebut pada pukul 8.30 pagi.

“Bedah siasat dijadualkan diadakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hari ini. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Raub berkata, Unit Siasatan Jenayah Dalam Tahanan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan melakukan siasatan berkaitan kes berkenaan.

“Lelaki itu ditahan kelmarin kerana mempunyai rekod orang dikehendaki berkenaan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dia juga mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes dadah dan ditahan sementara sebelum untuk dibawa ke Mahkamah Johor Bahru semalam,” katanya. – UTUSAN

The post Tahanan lokap meninggal dunia sebelum didakwa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *