SEREMBAN: Syarikat konsesi yang menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Sembilan, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) bersedia dengan kenderaan dan tenaga kerja mencukupi bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan berjalan lancar semasa cuti perayaaan Tahun Baharu Cina.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin memberitahu, pihak operasi SWM Environment menyediakan sejumlah 1,270 pekerja dan 247 buah kenderaan serta jentera bagi melaksanakan perkhidmatan kutipan sisa pepejal pada hari Tahun Baharu Cina pertama dan kedua. 

Menurutnya lagi, pada hari ketiga perayaan, semua pekerja operasi kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam akan kembali bertugas seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Kami menjangkakan akan terdapat peningkatan jumlah sisa pepejal sempena musim perayaan dan pihak syarikat telah mengambil langkah-langkah persediaan sebelum, semasa dan selepas sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kami akan memastikan semua 39 lokasi tong sampah berpusat, 30 rumah flat, 18 pantai dan lokasi rekreasi serta tempat tumpuan pengunjung akan diurus  dengan sebaiknya agar tiada isu limpahan sisa pepejal,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Strategi Operasi Tahun Baru Cina 2023 di sini.

Mohd. Norlisam berkata, penyusunan tenaga kerja, jadual kerja dan aset kenderaan dan jentera telah diatur bagi memastikan gerak kerja ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina berjalan lancar serta perkhidmatan dapat diberikan mengikut jadual yang ditetapkan.

“SWM Environment meminta orang ramai untuk memberikan kerjasama dengan tidak meletakkan sebarang halangan terutamanya kenderaan mereka di laluan utama lori kompaktor dan lori terbuka bagi melancarkan pergerakan kenderaan yang beroperasi ketika musim perayaan,” katanya.-UTUSAN.

The post Tahun Baharu Cina: SWM Environment sedia tenaga kerja, kenderaan mencukupi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *