TAIPEI: Daerah Chiayi kini semakin dikenali ramai kerana menempatkan sebuah kuil dengan struktur yang begitu senget sehingga digelar Menara Condong Pisa versi Taiwan.

Pada Ogos 2009, Taiwan dilanda Taufan Morakot yang disifatkan sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah negara itu.

Taufan tersebut menghasilkan jumlah hujan yang banyak hingga mengakibatkan aliran lumpur, tanah runtuh dan banjir besar di seluruh Taiwan.

Walaupun menyebabkan kerosakan besar dan ratusan kematian, taufan tersebut turut menghasilkan satu daripada tarikan pelancong paling luar biasa di Taiwan iaitu Istana Taihe Zhenxing yang sudah condong kira-kira 45 darjah.

Kuil berwarna-warni itu meluncur menuruni bukit kira-kira 100 meter ketika taufan melanda tetapi strukturnya secara ajaib terselamat dan kekal dalam keadaan senget.

Keadaan struktur Istana Taihe Zhenxing yang unik menyebabkannya menjadi tumpuan para pelancong, termasuk dari luar negara, hasil daripada promosi di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.

Rumah ibadat itu dikatakan menjadi lokasi sesuai untuk merakam aksi tarian ikonik penghibur lagenda, Michael Jackson menentang graviti tanpa sebarang usaha, dengan hanya perlu mencodongkan telefon pintar sahaja.

Awal tahun ini, selepas gambar dan video yang dirakam di sana tular dalam talian, Istana Taihe Zhenxing malah turut dipaparkan di televisyen nasional dan menerima jolokan keajaiban dunia versi Taiwan.-AGENSI

The post Taiwan miliki kuil senget persis Menara Condong Pisa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *