PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon popular, Rozita Che Wan mengharapkan nasib penggiat industri seni terus terbela dan tidak dipinggirkan selepas kerajaan baharu terbentuk.

Jelas Rozita atau lebih popular dengan gelaran Che Ta, peluang dan ruang bekerja dengan kreatif harus dibuka lebih luas supaya industri seni dapat menjana ekonomi bukan sahaja untuk diri, tetapi juga negara.

“Moga nasib anak-anak seni akan terbela, namun tidak bererti semua harus disuap. Peluang dan ruang harus diberikan kementerian berkaitan, termasuk membuka pintu ekonomi untuk kami menjana pendapatan.

“Industri kreatif harus diberi kebebasan dan peluang kerja sama rata. Kita tidak mahu terus dilihat merayu dan menagih seperti ‘pengemis’ di negara sendiri.

“Artis juga kena proaktif mencari peluang. Kita tidak mahu nasib dan rezeki hanya seperti telur di hujung tanduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Che Ta berkata, pucuk pimpinan yang bakal mengemudi kerajaan harus bersikap adil dan amanah untuk melunaskan setiap tawaran yang dijanjikan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebagai rakyat Malaysia, saya mahu pemimpin yang berdedikasi, adil dan amanah. Tidak hanya melobi semata-mata meraih undi untuk kepentingan peribadi.

“Kita sudah hampir memasuki 2023, sama-sama kita membangun dan maju antara rakyat serta pemerintah. Tidak hanya sebelah pihak yang meraih faedah dan keuntungan,” ujarnya.

Sementara itu, penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search pula berkata, kestabilan kerajaan dalam semua aspek, khususnya menguruskan masalah ekonomi rakyat dan inflasi perlu menjadi agenda utama.

“Tampuk pimpinan baharu harus mementingkan kualiti kerja kerana kebergantungan rakyat untuk melihat masa hadapan yang lebih baik ada di bahu mereka.

“Kerajaan baharu juga diharapkan mampu menangani pelbagai permasalahan atau dilema yang melanda negara dengan bijak lagi saksama .

“Bekerjalah untuk kami, rakyat Malaysia yang meletakkan kepercayaan penuh terhadap kerajaan baharu yang dipilih,” katanya.

The post Tak mahu anak seni dilihat seperti mengemis peluang – Che Ta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *