SHAH ALAM : Penyanyi yang juga peserta program Gegar Vaganza musim kesembilan ( GV9), Shila Amzah, tidak melatah apabila ramai menegur penampilannya ketika membuat persembahan pada persaingan suku akhir, Ahad lalu.

Kata Shila, dia sedar ramai dalam kalangan penonton program itu ‘berbunyi’ mengenai lengan bajunya yang tersingkap ketika membawakan lagu Survivor, meskipun perkara itu bukan sesuatu yang disengajakan.

“Saya tidak perasan lengan baju melorot, memandangkan saya ada memakai sarung tangan jenis kulit. Jadi, saya tidak terfikir akan jadi begitu.

“Sepatutnya, saya pakai baju lain untuk persembahan pada malam itu. Tetapi, baju yang disiapkan itu tidak sesuai dengan konsep persembahan yang memperlihatkan saya seperti bertarung dalam gelanggang.

“Memang baju itu cantik, cuma tidak kena dengan konsep yang dirancang. Walaupun ditukar pada saat akhir, saya puji  penata gaya kerana dapat menata penampilan saya dengan baik,” katanya.

Akur tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku di atas pentas, Shila bagaimanapun, berjanji untuk lebih berhati-hati dan memperbaiki kelemahannya.

“Kalau awal-awal saya pin bahagian  tertentu, mungkin perkara seperti ini tidak terjadi. Bagi saya, soal  pakaian adalah antara perkara yang kita tidak boleh jangka.

“Apapun, setiap minggu kita akan cuba perbaiki kelemahan. Terima kasih kepada semua yang peka dan memberikan teguran.

“Saya tidak marah pun sebab mereka memberikan teguran yang membina. Insya-Allah, saya akan buat yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

The post Tak marah pun orang tegur – Shila Amzah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *