KUALA LUMPUR: Presiden Rockers Apa Khabar yang juga penganjur konsert, Megat Syafnir Faree Ahmad, mendedahkan, terdapat kumpulan rock senior pernah ditawarkan bayaran RM50 untuk membuat persembahan.

Kesal dengan sikap segelintir pihak yang tidak menghargai perjuangan artis rock tersebut, Megat berkata, bayaran diberikan itu diibaratkan seperti penghinaan terhadap bakat mereka.

“Tidak perlu saya sebut siapa kerana saya tidak mahu malukan mana-mana pihak. Penyanyi ini sudah berusia dan dia berusaha untuk membuat kemunculan semula bersama kumpulannya.

“Tetapi, mereka ditawarkan dengan bayaran tidak masuk akal. Mereka hanya dibayar RM50 dan selepas pembahagian dilakukan, berapa masing-masing akan dapat? Apa ini?

“Jangan rendahkan martabat anak seni. Ini adalah satu penghinaan kerana mereka sepatutnya dibayar lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Pesta Laut Lumut 2022, semalam.

Megat berkata, dia lega apabila kumpulan rock otai tersebut menolak tawaran itu.

“Jangan ambil kesempatan. Jangan perlakukan seperti itu hanya kerana mereka perlukan wang.  Kebetulan, saya kenal penganjur acara terbabit.

“Saya cuba cakap elok-elok dan menerangkan mengapa bayaran diberikan itu tidak setimpal. Jangan nilai orang seperti itu dan jangan ambil kesempatan,” katanya.

Berkongsi mengenai penganjuran Pesta Laut Lumut 2022, Megat berkata, acara itu menampilkan ramai artis rock dan penyanyi era 1960-an.

“Kami jadikan acara ini sebagai program yang ‘friendly’ dengan berkongsi platform untuk mereka beraksi. Ia situasi menang-menang untuk semua.

“Memang saya mahu ramai artis lama sertai untuk bantu angkat semula nama mereka. Ini juga adalah cara untuk membantu mereka dari segi ekonomi,” katanya.

Pesta Laut Lumut 2022 anjuran Eagle Swipe Global Sdn Bhd bersama Downbeat Studio dengan sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia akan berlangsung dari 23 Disember hingga 1 Januari depan.

Antara artis yang terbabit adalah Loving Born, Samudera, Dinamik, Teja, Kris, Azimat, Stripes, Jeffrydin, S Mariam, L Ramlie, Febians, Kugiran D Tepi Pantai, Lipan Bara dan ramai lagi.

 

The post ‘Tak masuk akal bayar rockers senior RM50’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *