KOTA BHARU: Polis berjaya mematahkan cubaan sindiket penyeludup untuk mengedar dan menjual sebanyak 7,000 karton rokok seludup bernilai RM350,000 di Kelantan selepas mengekori sebuah lori sejauh hampir 300 kilometer dari Kemaman, Terengganu ke sebuah stor di Kampung Padang Mokan, di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 8.20 pagi itu, tiga lelaki berusia 23 hingga 47 tahun termasuk pemandu lori terbabit ditahan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pasukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Bukit Aman menerima maklumat awal mengenai kegiatan penyeludupan rokok dari Kemaman sebelum mengekori lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipandu suspek berusia 42 tahun.

Menurutnya, polis mendapati sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang dipercayai berperanan sebagai tonto turut mengekori lori tersebut.

“Polis menjalankan serbuan semasa tiga lelaki termasuk pemandu lori itu sedang memunggah rokok-rokok tersebut di stor yang dimiliki salah seorang suspek yang berusia 47 tahun.

“Siasatan mendapati, stor itu pernah beberapa kali dijadikan tempat menyimpan rokok seludup sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, rokok-rokok yang dibawa dari Kemaman itu dipercayai akan dijual untuk pasaran di Kelantan.

Katanya, berdasarkan siasatan, pemandu lori itu dipercayai pernah membawa rokok seludup ke stor berkenaan sebanyak tiga kali sejak Mei lalu.

“Selain rokok seludup, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Camry dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Ford Everest yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek lain yang terlibat dalam sindiket tersebut. Ketiga-tiga suspek yang tiada rekod jenayah lampau dan negatif dadah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – UTUSAN

The post Tak sempat jual 7,000 karton rokok seludup appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *