SUNGAI PETANI: Ibu kepada dua beranak yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 34, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh, Perak terkilan tidak sempat menyediakan hidangan sup tulang kegemaran anaknya selepas menerima berita duka itu.

Norashikin Ahmad, 50, berkata, anaknya, Nor Syahira Mohd. Fadhail, 23, bersama suami dan bayi lelaki mereka dalam perjalanan pulang ke Gurun, di sini selepas bercuti di Cameron Highlands.

Katanya, mereka sekeluarga sepatutnya pulang ke kampung selepas pergi ke Ipoh bagi melawat kenalan di sana, namun mengambil peluang mengunjungi destinasi percutian tersebut sebelum bergerak balik.

“Mak cik terkilan tidak sempat masak sup tulang kepada mereka semalam, semua bahan termasuk tulang dan daging untuk buat sup kesukaan anak kedua saya itu sudah dibeli selepas diberitahu melalui WhatsApp yang mereka dalam perjalanan pulang ke Gurun,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam, Norsyahira bayi lelakinya berusia tiga bulan, Muhammad Rayyan Nauffal Amyroul Shah Huszaiery maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta selepas kereta Perodua Myvi dipandu suaminya, Amyroul Shah Huszaiery Yusri, 23, bertembung dengan sebuah Mercedes-Benz.

Nor Asikin berkata, anak kedua daripada empat beradik itu tinggal bersamanya di Taman Jerai Indah Emas, Gurun, Kedah sejak tahun lalu selepas mengalami alahan teruk sepanjang hamil anak sulung.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada pagi Ahad di mana arwah sempat menyediakan hidangan makan tengah hari untuknya.

“Ira ada hantar video anaknya dalam kumpulan WhatsApp. Video cucu saya gelak, senyum tapi rasa sedih kini dia sudah ‘pergi’,” katanya.

Sementara itu, suami Norashikin, Mohd. Fadhail Awang, 53, berkata, kali akhir dia bertemu anak, menantu dan cucu sulungnya itu adalah pada petang Ahad lalu semasa bertugas sebagai pengawal di Pusat Jualan Kereta di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Ketika itu anak dan menantu dalam perjalanan ke Ipoh melawat kenalan mereka dan singgah bertemu saya. Memang perangainya agak pelik ketika itu apabila dia berseloroh menyatakan mereka sekeluarga tidak akan balik ke rumah, namun apabila saya larangnya bercakap demikian barulah dia kata yang mereka tidak balik kerana akan tidur di Ipoh,” katanya.

Menurutnya, walaupun ketika itu dia berat untuk membiarkan anak dan menantunya pergi, namun dia berdoa agar mereka sekeluarga selamat dalam perjalanan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, nahas berlaku ketika Perodua Myvi dinaiki dua beranak dari arah Cameron Highlands itu sedang menuruni bukit di laluan berselekoh.

Katanya, sampai di lokasi kejadian, kenderaan itu bertembung dengan kereta jenis Mercedes-Benz dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah Simpang Pulai.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan penumpang wanita kereta Perodua Myvi dan bayi lelakinya maut manakala suaminya parah. Pemandu Mercedes-Benz bagaimanapun cedera di kepala dan kaki.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. –UTUSAN

The post Tak sempat masak sup tulang untuk anak appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *