KABUL: Mahkamah Agung kerajaan Taliban memaklumkan seramai 19 orang dihukum disebat di khalayak umum di timur laut Afghanistan bulan ini.

Tindakan itu memperlihatkan isyarat utama pertama kumpulan pemerintah Taliban untuk menerapkan undang-undang Islam berhubung keadilan jenayah.

“Selepas pertimbangan dan penyiasatan syariah yang ketat, setiap daripada mereka dijatuhkan hukuman sebatan 39 kali,” kata jurucakap Mahkamah Agung, Mawlawi Enayatullah, dengan memaklumkan kaum wanita antara yang turut disebat.

Tambah Enayatullah, hukuman itu dilaksanakan di wilayah timur laut Takhar pada 11 November lalu, selepas solat Jumaat, atas perintah Mahkamah Wilayah.

Walaupun ia adalah satu daripada petunjuk utama pertama hukuman berlandaskan syariah di bawah pentadbiran Islam Taliban yang tegar, tidak diberikan penjelasan sama ada hukuman sedemikian akan diperkenalkan di seluruh negara.

Pemimpin kerohanian tertinggi Taliban bulan ini bertemu dengan hakim dan berkata mereka harus melaksanakan hukuman yang konsisten dengan undang-undang syariah, menurut satu kenyataan mahkamah.

Negara-negara lain meneliti rekod prestasi Taliban mengenai hak asasi manusia dan hak wanita sejak mereka mengambil alih pentadbiran pada Ogos 2021 selepas pemberontakan selama dua dekad.

Tiada kerajaan asing yang mengiktiraf pentadbiran Taliban secara rasmi dan ramai mengkritik hebat tindakan itu sebagai bercanggah dengan isyarat awal mereka berjanji akan membuka sekolah menengah di seluruh negara untuk perempuan pada Mac.

Sebelum ini, sebatan awam dan hukuman mati direjam dilaksanakan di bawah pemerintahan Taliban antara 1996 hingga 2001.

Hukuman sebegitu jarang berlaku dan dikutuk oleh pentadbiran kerajaan Afghanistan yang disokong negara asing seterusnya, walaupun hukuman mati kekal sah di Afghanistan. – REUTERS

The post Taliban laksana hukuman sebat terhadap 19 pesalah jenayah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *