KUALA PILAH: Seorang lelaki tidak menyangka akan menamatkan zaman bujangnya pada usia 54 tahun selepas melalui perkenalan singkat dengan seorang penjawat awam, empat bulan lalu.

Badrul Hisham Kasim yang berasal dari Kuala Jemapoh dan pasangannya, Murshiah Yidin, 50, dari Senaling di sini merupakan pasangan pertama yang dinikahkan di Kompleks Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Kuala Pilah yang dirasmikan hari ini.

Lebih manis, pasangan tersebut telah dinikahkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sambil disaksikan Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap.

Menurut Badrul Hisham, diraikan pada majlis tersebut, perasaannya bercampur baur antara gembira dan sedih.

“Rasa sedih sebab ibu dan ayah saya sudah tiada untuk melihat perkahwinan ini, malah adik-beradik saya juga hanya tinggal dua orang sahaja daripada lima orang. 

“Saya berkenalan dengan isteri pada bulan Jun lalu, itupun diperkenalkan oleh seorang kawan yang lain, dan Alhamdulillah ada keserasian dan kami terus buat keputusan untuk berkahwin,” katanya. 

Badrul Hisham dan Murshiah yang merupakan perkahwinan kedua buat dirinya selepas kematian suami, diraikan bersama lima pasangan lain yang sudah dinikahkan sebelum ini. – UTUSAN

The post Tamat zaman bujang pada usia 54 tahun  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *