SEREMBAN: Tiga buah kereta menggelongsor dan terjatuh ke dalam cerun sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian tanah mendap dan runtuh di Taman Bukit Berlian di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi itu, jalan di hadapan rumah penduduk di Jalan Berlian 5 turut merekah sepanjang kira-kira 80 meter dengan kedalaman mencecah 0.6 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Seremban, Mohd. Nizam Tajul Arus berkata, hujan lebat mengakibatkan tebing jalan utama mendap dan berbahaya kepada penduduk.

“Terdapat 12 buah rumah yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian, buat masa ini kami sedang membuat pemantauan supaya penduduk yang terjejas mengosongkan rumah mereka.

“Kami nasihatkan penduduk keluar dari rumah segera kerana dikhuatiri pergerakan tanah masih berlaku. Kerja-kerja baik pulih akan dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS),” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau turut melawat lokasi kejadian bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong.

Turut sama turun ke lokasi, Ketua Balai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof.

Seorang penduduk, Jessica Lee, 28, berkata, ketika kejadian semua ahli keluarga sudah tidur sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi bising daripada rumah jiran memaklumkan terdapat kereta yang terjatuh ke dalam cerun.

“Saya segera bangun dan kejutkan ahli keluarga lain, apabila keluar saya dapati tiga kereta kami yang diletakkan di seberang jalan di hadapan rumah sudah berada di kawasan runtuhan cerun.

“Perasaan memang takut kerana jalan sudah merekah, kami semua tidak dapat tidur hingga pagi,” katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.52 pagi dan mendapati terdapat tiga buah kereta iaitu Kia Forte, Honda City dan Toyota Avanza berada di kawasan cerun yang runtuh.

“Selain itu, terdapat rekahan pada jalan di hadapan rumah. Dalam pemerhatian awal pihak bomba dapati ada enam buah rumah di kawasan itu mungkin terjejas dan berisiko dengan kejadian runtuhan ini.

“Mereka bersetuju untuk berpindah dan kami difahamkan pihak kerajaan negeri akan membuka satu pusat pemindahan sementara (PPS) bagi penduduk yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

 

The post Tanah mendap: Tiga kereta masuk cerun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *