PADANG BESAR: Satu lagi kes berkaitan isu hak pemilikan tanah dilaporkan berlaku membabitkan Lot 3404 Sungai Chuchuh, Mukim Titi Tinggi di sini yang didakwa berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu.
Tanah berkeluasan 1.006 hektar itu dikatakan dibeli Koperasi Bakti Murni Perlis Berhad sejak 1990 daripada pemilik asal namun sehingga kini, pihak terlibat tidak dapat mengusahakan kawasan berkenaan berikutan ia didiami penduduk lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Koperasi Bakti Murni Perlis Berhad, Fatimah Su berkata, sebelum pembelian itu, pemilik tanah berkenaan didakwa memberi kebenaran secara lisan kepada seorang penduduk mendiami kawasan itu buat sementara waktu.
“Namun penduduk itu didakwa bertindak memecahkan tanah berkenaan dan menjualnya kepada pihak lain. Apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana tanah itu boleh dijual tanpa geran dan kebenaran memandangkan ia dibeli koperasi sejak 1990,” katanya.
Utusan Malaysia Selasa lalu melaporkan isu hampir sama melibatkan masalah status dan geran hak milik tanah sehingga mengundang keresahan lebih 1,200 penduduk membabitkan lima buah kampung sekitar kawasan Titi Tinggi di sini.
Isu itu menimbulkan kebimbangan penduduk terlibat selepas kawasan yang dibangunkan mereka mula dituntut individu yang mendakwa pemilik tanah berkenaan.
Fatimah berkata, pada 2019, ahli lembaga koperasi itu pernah melawat lokasi tanah berkenaan namun tidak disambut baik penduduk di sana.
“Ketika itu, terdapat sekitar enam rumah di tanah terbabit malah penduduk terlibat menyatakan mereka mempunyai surat permintaan tanah yang diluluskan pihak berwajib untuk mengusahakan kawasan itu.
“Mereka mendakwa tanah itu diusahakan pada 1987 namun sebenarnya ia dibangunkan sejak 1960-an lagi,” katanya.
Jelasnya, wakil koperasi membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab sejak 1992 memandangkan penduduk terlibat enggan keluar namun tiada tindakan dilaksanakan sehingga kini.
Katanya, isu itu perlu diberi penjelasan sewajarnya memandangkan penduduk terlibat mendakwa mendapat kebenaran mendiami kawasan terbabit.
“Penduduk dakwa mereka mendapat surat kebenaran namun apabila kami minta untuk melihatnya mereka enggan memberi kerjasama. Disebabkan itu kita minta agar pihak bertanggungjawab dapat memberi pencerahan berhubung isu ini,” katanya. – UTUSAN
The post Tanah milik Koperasi Bakti Murni didakwa dihuni penduduk lain sejak 30 tahun appeared first on Utusan Malaysia.