LAS TEJERIAS: Sekurang-kurangnya 43 orang maut dalam kejadian tanah runtuh dan hujan lebat yang melanda bandar Las Tejerias di Aragua.

Lapor Agensi Anadolu, Timbalan Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez menjangkakan angka kematian itu akan terus meningkat.

“Kami menjangkakan angka korban akan meningkat sehingga mencecah 100 orang dalam kejadian ini,” katanya.

Rodriguez mendedahkan data terbaharu itu semasa bersiaran langsung dari lokasi kejadian.

Taklimat itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Nicholas Maduro memaklumkan seramai 39 orang maut manakala 56 lagi masih hilang.

Sementara itu, pihak berkuasa Venezuela memaklumkan sebanyak 300 tan makanan sudah diagihkan kepada mangsa yang terjejas dalam kejadian itu.

Tanah runtuh tercetus disebabkan limpahan air sungai merupakan kejadian bencana baharu akibat hujan lebat yang melanda negara itu.

Sejumlah bangunan kediaman dan premis perniagaan terjejas dalam bencana itu sehingga menyebabkan bandar Las Tejerias dipenuhi lumpur dan serpihan, termasuk pokok tumbang, barangan rumah dan kereta rosak.

Puluhan kes kematian direkodkan susulan pelbagai kejadian bencana akibat taburan hujan yang tinggi dalam sejarah negara Amerika Selatan itu, sejak beberapa bulan lalu. – AGENSI/AFP

The post Tanah runtuh di Venezuela: Angka korban meningkat kepada 43 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *