KOTA KINABALU: Keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Pas memberi ruang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas berulang kali menyatakan bahawa mereka kekal sebagai rakan terpenting dalam PN, jadi keputusan itu jelas menerangkan tentang ketidakpastian dalam hubungan antara Pas dan UMNO.

“Tapi saya fikir ini memberi ruang kepada PN untuk lebih kuat dan efektif bagi memperoleh lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini. Bagi saya itu berita yang baik,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah  di sini, malam tadi.

Kelmarin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin berkata, kegagalan Pas memenuhi tiga syarat ditetapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyebabkan tawaran kerjasama antara UMNO dan Pas PRU15 gugur.

Mohamed Khaled berkata, sekiranya tiada kerjasama maknanya akan ada pertandingan (pertembungan) antara UMNO-Pas.

Mengenai kerjasama Bersatu dan Barisan Nasional di peringkat negeri, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau memberi kebebasan kepada Bersatu Sabah untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional pada PRU15 di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Namun, sebarang keputusan yang dibuat harus memberi keutamaan kepada Bersatu kerana soal pokoknya ini adalah pilihan raya di peringkat Parlimen maka keputusan yang dibuat harus memberi keuntungan kepada parti dan rakyat.

“Datuk Panglima (Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk SeriHajiji Noor) telah jelaskan situasi agak luar biasa di Sabah, sebab itu terbentuk kerajaan negeri pun dengan adanya kerjasama dan persefahaman antara parti-parti.

“Walaupun peringkat Persekutuan tidak sehaluan tetapi di sini keadaan agak luar biasa dan istimewa. Maka, kita terima perbezaan di Sabah bahawa mereka (Bersatu-Barisan Nasional) boleh bekerjasama,” katanya.

Mengulas lanjut, penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu berkata, biarpun di Sabah calon Bersatu bertanding di bawah logo GRS, kemenangan itu memberi sumbangan kepada PN di peringkat Persekutuan.

Tambahnya, beliau telah meminta agar nama-nama bakal calon Bersatu dikemukakan kepadanya untuk diputuskan kemudian.

“Calon kita (Bersatu) akan bertanding atas nama GRS dan memakai logo GRS tapi kemenangan mereka sebahagian besarnya beri sumbangan kepada PN. Itu persefahaman yang telah dicapai jadi tiada sebarang masalah,” katanya. – UTUSAN

The post Tanpa kerjasama UMNO-Pas, PN berpeluang raih banyak kerusi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *