PETALING JAA: PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, melihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) wajar memainkan peranan dengan sebaiknya dalam menangani segala isu membelenggu penggiat seni kreatif.

Bukan sahaja isu bayaran gaji, bahkan apa sahaja permasalahan yang disuarakan anak seni sepatutnya mendapat perhatian Finas untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

“Dalam isu bayaran, Finas patut mainkan peranan kerana mempunyai punca kuasa melalui akta, peraturan dan syarat tambahan. Dengan adanya kuasa seperti pemberian permit penggambaran, kelulusan lesen produksi dan sebagainya, Finas dapat tekankan perkara ini.

“Boleh juga meletakkan garis panduan untuk dimasukkan selepas meminda akta tertentu. Bila ada syarat baharu, contohnya untuk mendapatkan lesen, produksi kena ikuti ketetapan itu.

“Sekiranya ada masalah misalnya isu pembayaran, Finas boleh menarik semula lesen atau membatalkan permit penggambaran mereka,” katanya.

Jelas Zed, teguran dan cadangan telah berulang kali disuarakan, namun sehingga kini masih banyak perkara menemui jalan buntu.

“Apa yang diberitahu ini adalah sebahagian daripada cadangan Seniman.

“Saya tahu, cadangan ini mungkin mengambil masa lama, terutama membabitkan pindaan akta. Tetapi, kalau Finas boleh pinda perlembagaan dan memasukkan elemen kebajikan, ia dapat membela anak seni dari sudut perundangan.

“Kalau cadangan ini direalisasikan, saya percaya semua pihak akan mendapat manfaat. Isu industri perlu diselesaikan secara teknikal, jadi kena ada garis panduan atau undangundang untuk semua pihak patuhi,” katanya.

The post Tarik lesen, batal permit penggambaran – Zed Zaidi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *