MELAKA: Sepasang suami isteri meluahkan rasa terkilan terhadap kerenah birokrasi dan syarat ketat dikenakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semasa memohon dana bagi tujuan rawatan anak mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rosniza Hussin, 41, berkata, banyak pihak tampil menghulurkan bantuan kepada anaknya, Muhammad Farhan Mohd. Fadly, 17, yang disahkan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, syarat dan prosedur yang ketat menyebabkan dia dan suami, Mohd. Fadly Zakaria, 43, sema­kin tawar hati untuk memohon dana yang telah dikumpulkan sejak beberapa bulan lalu.

“Mereka minta kami mengisi borang secara dalam talian dan menyerahkan pelbagai dokumen untuk pengesahan. Mereka pernah melawat dan melihat sendiri keadaan anak saya yang terlantar sakit, kami bukan hendak menipu.

“Surat bukti daripada hospital juga belum cukup meyakinkan mereka. Dana berjumlah lebih RM4,000 berjaya dikumpul atas nama anak, tetapi ha­nya sekali pengeluaran dibuat iaitu sebanyak RM208 untuk membeli keperluan Muhammad Farhan.

“Kira-kira RM1,000 sebulan diperlukan untuk membeli susu khas, lampin pakai buang dan ubat. Saya terpaksa berhenti kerja awal bulan ini untuk menjaga anak dan suami bekerja dengan mengambil upah membaiki motosikal. Pendapatan kami sangat terhad,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Peringgit di sini.

Kisah Muhammad Farhan pernah dilaporkan akhbar ini Ogos lalu, yang memohon sumbangan orang ramai berjumlah RM12,000 bagi menjalani pemasangan tapak untuk mencuci darah di sebuah hospital swasta di Johor.

Tambah Rosniza, prosedur itu terpaksa ditangguhkan kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi.

Katanya, terdapat NGO yang sanggup untuk membiayai sepenuhnya kos tersebut, tetapi kerenah birokrasi termasuk da­ripada pihak hospital menyukarkan Muhammad Farhan mendapatkan rawatan.

“NGO terbabit meminta dokumen hospital manakala pihak hospital tidak mengeluarkan surat tanpa menjalani prosedur terlebih dahulu. Secara mudahnya, kami bayar dulu, baru hospital akan keluarkan surat. Kalau mampu, saya tidak mohon dana.

“Muhammad Farhan kini terpaksa ditidurkan sejak Isnin kerana paru-paru bengkak dan keadaan jantung lemah. Saya sedih melihat keadaan dia yang terus berjuang untuk hidup, namun dinafikan dengan perkara seperti ini,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank atas nama Mohd. Fadly Zakaria (104022886422). – UTUSAN

The post Tawar hati mohon dana untuk anak sakit appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *