KUALA TERENGGANU : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menawarkan kontrak selama lima tahun kepada doktor-doktor pakar yang telah bersara untuk menyambung perkhidmatan mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, satu perbincangan telah diadakan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, perbincangan itu bertujuan mewujudkan kerjasama untuk memastikan ilmu yang ada pada doktor-doktor pakar ini dapat dimanfaatkan kepada pegawai dan pelajar perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih.

PENGALAMAN

Katanya, doktor-doktor pakar ini boleh mencurahkan ilmu dan pengalaman mereka kepada doktor yang melanjutkan pelajaran di IPT tersebut agar lebih ramai doktor pakar dapat dilahirkan di negara ini.

“Kebiasaannya, selepas bersara pada umur 60 tahun, doktor-doktor pakar ini ada yang meneruskan khidmat di hospital kerajaan secara ‘sessional’ iaitu selama 10 jam bagi tempoh seminggu.

“Perkhidmatan mereka dibayar mengikut jumlah jam, ada baiknya jika kita tawarkan mereka ini kontrak lanjutan selama lima tahun lagi.

“Selain untuk meningkatkan tenaga pengajar kepakaran perubatan di universiti-universiti tempatan, ia juga akan menambah baik perkhidmatan kepakaran kepada rakyat Malaysia.

“Ini hanya satu cadangan tetapi perlu mendapat kelulusan perkhidmatan awam terlebih dahulu,” kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day) Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Pada perkembangan lain, Dr. Noor Hisham berkata, Malaysia mempunyai lebih 6,000 doktor pakar di hospital-hospital seluruh negara dan daripada jumlah itu, dianggarkan 150 hingga 200 orang akan bersara pada setiap tahun.

Tambahnya, daripada 150 buah hospital di seluruh negara, hanya 40 sahaja yang mempunyai doktor pakar dalam pelbagai bidang.

“Bakinya 90 hospital tidak mempunyai doktor pakar pelbagai bidang, jadi ada 42 hospital yang menjadi hospital kluster untuk menampung perkhidmatan di beberapa hospital daerah yang berdekatan.

“Antara yang dilaksanakan kementerian untuk memastikan khidmat terbaik kepada rakyat ialah mengumpulkan semua kes penyakit yang sama untuk dirawat doktor pakar pada satu tarikh dan masa yang ditentukan.

“Hasilnya ia berjaya mengurangkan kes-kes tertangguh dengan ketara,” katanya. – UTUSAN

The post Tawar kontrak lima tahun kepada doktor pakar bersara appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *