BANGI: Tawaran Perikatan Nasional (PN) mengurangkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 25 peratus kepada graduan meliputi lepasan sarjana muda dan diploma adalah realistik. 

Calon Parlimen Bangi dari Pas, Muhammad Nazrul Hakim Md. Nazir berkata, tawaran itu adalah komitmen yang akan dilaksanakan segera selepas PN menjadi kerajaan bagi memastikan harapan golongan belia dilaksanakan. 

Katanya, apabila sesuatu tawaran dimasukkan ke dalam manifesto, ia adalah kesungguhan politik seperti lima tunjang utama yang ditawarkan iaitu Kebajikan BEST, Pendidikan BEST, Anak Muda BEST, Wanita BEST dan Infra BEST. 

“Apabila saya dipilih menjadi Ahli Parlimen, adalah komitmen saya memastikan apa yang ditawarkan termasuk diskaun 25 peratus PTPTN dapat dilaksanakan segera bagi golongan belia terutamanya peminjam dapat menyusun perbelanjaan tanpa terbeban dengan hutang pendidikan. 

“Saya berkeyakinan pelaksanaan tawaran ini dapat dilaksanakan kerana ia realistik dengan keperluan semasa, manakala terdapat jawatankuasa yang memantau pelaksanaan tawaran yang dijanjikan,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Operasi Pilihan Raya Pejabat Pemuda PAS Kawasan Bangi di sini hari ini. 

Muhammad Nazrul berkata, rakyat mengetahui keupayaan PN dan pastinya apa yang dijanjikan dapat dilaksanakan terutama diskaun 25 peratus PTPTN dan tawaran gabungan parti itu adalah berbeza berbanding dengan kerajaan terdahulu.

“Selain diskaun PTPTN, potongan cukai khas bagi pekerja sektor ekonomi gig sepenuh masa yang berdaftar, meningkatkan kemahiran digital belia termasuk coding, artificial intelligence (AI), machine learning (ML), internet of things (IoT) dan blockchain.

“Selain itu, pemerkasaan program peningkatan kemahiran dan latihan semula dalam bidang teknologi tinggi serta menyediakan insentif kepada majikan terlibat,” katanya.- UTUSAN

The post Tawaran diskaun 25 peratus PTPTN realistik  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *