KUALA TERENGGANU : TDM Berhad (TDM) hari ini membayar sebanyak RM2.7 juta kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian keuntungan usaha sama syarikat bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2021. 

Cek bayaran perkongsian keuntungan tersebut diserahkan oleh Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @ Yusof dengan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr.  Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di sini, hari ini.

LTAWNT memiliki seluas 1,336 hektar ladang kelapa sawit yang terletak di Ladang Air Putih, Kemaman di sini milik TDM Plantation Sdn. Bhd. 

Ladang kelapa sawit tersebut diuruskan oleh bahagian perladangan TDM menerusi usaha sama yang dimeterai oleh kedua-dua syarikat pada tahun 1996. 

Najman berkata, TDM kekal berdaya saing dan merekodkan pencapaian cemerlang pada tahun 2021 walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan operasi dan cabaran akibat ketidaktentuan pasaran, kekurangan buruh, dan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bahagian perladangan TDM berjaya melaporkan pertumbuhan yang memberangsangkan, justeru membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang menjana keuntungan usaha sama yang lebih besar buat LTAWNT iaitu sebanyak RM2.7 juta bagi tahun 2021 berbanding RM1.9 juta pada tahun 2020.

Menurutnya, Bahagian Perladangan Kumpulan TDM menunjukkan prestasi yang kukuh pada tahun 2021 hasil harga minyak sawit mentah (CPO) dan juga isirong sawit (PK) yang tinggi.

“Pendapatan segmen meningkat 19.6 peratus kepada RM287.3 juta berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak RM240.3 juta.

“Selain itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga melonjak hampir dua kali ganda (96.5 peratus) kepada RM176.4 juta berbanding RM89.8 juta tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pembayaran perkongsian keuntungan usaha sama berterusan oleh Kumpulan TDM dalam mencerminkan keupayaan syarikat dalam menguruskan aset dan sebuah penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh rakan kongsi perniagaan serta pelabur.

“Selain itu, ia juga merupakan bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan.

“TDM komited untuk terus menjana pembayaran perkongsian keuntungan yang lebih besar untuk TK2022 dan tahun-tahun akan datang selari dengan usaha menambah baik kecekapan operasi dan pada masa yang sama memaksimumkan keuntungan,” katanya. 

Beliau berkata, TDM yakin dengan keupayaannya untuk merekodkan prestasi yang cemerlang pada suku terakhir 2022 sekali gus membina momentum positif daripada keputusan operasi yang memberangsangkan pada tahun 2021. 

“Dengan dorongan usaha proaktif cabang perniagaan perladangan dan penjagaan kesihatan, Kumpulan TDM berhasrat untuk memberi nilai tambah yang lebih baik kepada pihak berkepentingan menerusi pertumbuhan mampan di masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

The post TDM bayar RM2.7 juta kepada LTAWNT appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *