KUALA TERENGGANU: TDM Berhad kekal komited menjadi sebahagian daripada Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) apabila terus menaja pasukan berbasikal nombor satu Asia itu, tahun ini.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, tajaan RM500,000 itu merupakan pelaburan strategik untuk membawa jenama itu ke peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, kerjasama sejak 2022 itu diteruskan selepas kejayaan cemerlang TSG dalam pelbagai siri kejohanan dan meraih kedudukan ke-31 daripada 212 pasukan profesional dunia.

“Kolaborasi bersama nama-nama besar termasuk TSG amat penting dalam mengetengah dan mempromosikan produk baharu atau sedia ada di bawah TDM Berhad.

“Kami berharap dapat mengembangkan lagi jenama TDM Berhad selari dengan prestasi cemerlang TSG yang juga pasukan nombor satu Asia dan ketiga kategori benua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tajaan tersebut disampaikan pada Majlis Pelancaran Memperkenalkan Pelumba dan Penaja TSG bagi musim 2023 di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Pada tahun lalu, TSG menamatkan saingan di kedudukan ketiga benua dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selain memenangi jersi merah dan jersi putih Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022.

Najman berkata, pencapaian itu turut menjadi kebanggaan TDM Berhad selaku rakan penaja yang terus memberi sokongan kepada pasukan yang terdiri daripada 90 peratus anak Terengganu.

Bahagian penjagaan kesihatan syarikat, Kumpulan Medic Iman (KMI) Healthcare yang turut menjadi penaja bersama pula jelas beliau, boleh memastikan barisan pelumba TSG meningkatkan prestasi.

“Fasiliti kami dilengkapi kemudahan dan pakar perubatan berkemahiran tinggi bagi membantu atlet. Jadi saya harap usahasama ini dapat mempromosikan perkhidmatan TDM Berhad,” ujarnya. – UTUSAN

 

The post TDM Berhad taja TSG RM500,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *