DOHA: Penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa diangkat sebagai wira pasukannya setelah berjaya menafikan sepakan penalti diambil penyerang berbisa Poland, Robert Lewandowski dalam aksi perlawanan kumpulan C Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Stadium 974, di Ras Abu Aboud, Qatar, sebentar tadi.

Ochoa yang mempunyai wajah mirip watak utama siri televisyen “How I Met Your Mother”, Ted Mosby yang dilakonkan Josh Radnor, menepis sepakan penalti Lewandowski selepas pengadil perlawanan, Chris Beath meneliti video bantuan pengadil (VAR) dan mendapati pertahanan Mexico, Hector Moreno menarik baju Lewandowski dalam kotak penalti pada minit ke 59.

 

Tindakan Ochoa yang berjaya menyelamatkan gawang Mexico daripada dibolosi membangkitkan lagi semangat rakan sepasukannya untuk menyerang Poland, namun usaha mereka turut menemui jalan buntu sehingga tamat perlawanan.

Bagi Lewandowski, walaupun dia bergelar penjaring terbanyak untuk pasukan Poland dan ganas menggegar gawang di peringkat kelab, ironinya dia masih belum berjaya menjaringkan sebarang gol dalam aksi Piala Dunia.

 

Keputusan seri tanpa jaringan ini menyaksikan Poland dan Mexico terpaksa berkongsi satu mata mengekori pendahulu kumpulan C, Arab Saudi yang unggul selepas melakar kejutan untuk menewaskan Argentina sebentar tadi.

The post “Ted Mosby” pastikan Lewandowski kemarau gol di Piala Dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *