PETALING JAYA: Bintang muda Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi mendedahkan teguran yang sering dilontarkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe semasa sesi latihan adalah azimat buat dirinya.

Mukhairi Ajmal dinobat pemain terbaik perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia selepas tiga sepakan sudut yang diambilnya membantu Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Sharul Nazeem Zulpakar menjaringkan gol buat Selangor.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakui tidak menyangka tiga sepakan sudutnya berjaya dimanfaatkan rakan sepasukan untuk menjaringkan gol dan menamatkan kemarau kemenangan ke atas skuad Penyu sejak 2019 apabila menang 3-1.

“Sebenarnya setiap sesi ­video, jurulatih Tan (Cheng Hoe) selalu tegur saya mengenai sepakan sudut dan sepakan percuma. Dia cakap kena tingkatkan dari segi dua sepakan itu.

“Setiap hari selepas latihan, benda macam itu yang kami buat. Saya terkejut bola saya menjadi dan dapat membantu tiga jaringan pasukan,” ujarnya.

Gergasi Merah Kuning ­ketinggalan menerusi jaringan Tchetche Kipre pada minit ke-19 bangkit meledak tiga gol menerusi Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Sharul Nazeem Zulpakar dengan kesemuanya menanduk masuk sepakan sudut Mukhairi.

Tambah Mukhairi, bekalan kelebihan dua gol yang dibawa ke Kuala Terengganu masih belum selamat buat Selangor untuk aksi kedua, Isnin ini.

“Kami semua tak boleh ambil mudah dan kami juga tak boleh berasa takut. Bermain seperti biasa dan lakukan apa yang jurulatih arahkan.

“Saya masih belum berpuas hati dengan persembahan saya kerana masih buat kesilapan dalam padang. Saya kena usaha untuk kurangkan kesilapan dan menjadi yang lebih baik,” katanya.

The post Teguran berulang kali Cheng Hoe, ubah sepakan Mukhairi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *