KUALA SELANGOR: Tindakan seorang tekong tempatan mengupah tiga nelayan asing menangkap ikan secara haram memakan diri apabila mereka dicekup di kira-kira lima batu nautika di perairan Tanjong Karang di sini, semalam.

Kesemua lelaki termasuk kru warga Myanmar berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun yang menaiki sebuah bot nelayan tempatan Kelas B1 itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor pada pukul 10.30 pagi.

Pengarah APMM Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dilakukan ketika pihaknya melakukan rondaan rutin Op Ehsan dan Benteng Laut di sekitar perairan berkenaan sebelum mengesan mereka pada kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika di Sungai Burong.

“Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat lelaki termasuk seorang tekong warga Malaysia. Tiga nelayan asing itu kemudian gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,”  katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelas Siva Kumar, kesemua nelayan asing itu dipercayai bekerja di bot berkenaan dalam antara tiga hingga enam bulan lalu.

“Mereka disyaki menerima upah menangkap ikan di zon larangan itu sebanyak RM2,000 sebulan. Pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) dirampas dalam serbuan berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, bot dan semua lelaki itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut  Akta Perikanan 1985 kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan. Selain itu, tiga warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas,” jelasnya. – UTUSAN

The post Tekong bot nelayan dicekup upah warga asing secara haram appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *