KUALA SELANGOR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional mengumumkan kenaikan jumlah pembiayaan kepada kontraktor kelas G1 daripada RM100,000 kepada RM200,000 berkuat kuasa tahun depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, Skim Kontrak-i itu dijangka memberi manfaat  kepada 20,000 kontraktor di seluruh negara.

Kata beliau, kadar faedah pembiayaan yang ditetapkan kepada kontraktor itu juga rendah iaitu hanya 1.5 peratus.

“Kita mendapati kontraktor G1 ketika ini memerlukan modal lebih besar dengan isu kenaikan harga barang.

“Justeru, pinjaman RM100,000 sedia ada tidak mencukupi untuk membantu mereka melaksanakan kerja permulaan dan akan ditambah mulai 1 Januari tahun depan,” katanya selepas merasmikan Seminar Pembangunan Kapasiti Kontraktor (SPKK) di Institut Pengurusan Peladang (IPP), Tanjong Karang di sini, petang semalam.

Jelas Noh, Tekun  memperkenalkan pinjaman menerusi skim khas itu sejak 2015.

“Sepanjang tempoh sehingga tahun ini, ia melibatkan peruntukan berjumlah RM1.1 bilion.

“Seramai 19,000 kontraktor telah menerima manfaat pembiayaan berkenaan setakat ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kenaikan pembiayaan itu diharap membantu meringankan beban golongan berkenaan terutama yang terjejas ketika pandemik Covid-19. –UTUSAN

The post Tekun umum kenaikan pembiayaan RM200,000 bagi kontraktor G1 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *