ISKANDAR PUTERI: Bekalan sebanyak 10 hingga 12 juta telur ayam seminggu tidak dapat menampung permintaan yang tinggi menjadi punca kekurangan bekalan bahan makanan itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, peningkatan permintaan itu turut dipengaruhi oleh penggunaan tinggi yang diperlukan di peringkat industri termasuk untuk pembuatan kek dan roti.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memenuhi pembekalan telur dan ayam dalam pasaran.

“Untuk makluman, kita ada bekalan telur antara 10 juta hingga 12 juta pelbagai jenis (telur) setiap minggu di negeri ini.

“Mengikut data-data yang kita dapat setakat ini, bekalan itu kekal sama, tapi, permintaan meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran pada masa ini,” katanya ditemui semasa menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai aduan tentang kekurangan bekalan telur dan ayam di Johor dan usaha kerajaan negeri dalam mengatasinya.

Dalam pada itu, Ting Han turut mengesahkan menerima aduan berkenaan penjualan telur kotor yang menggelirukan pengguna di Johor Bahru, baru-baru ini.

Susulan laporan tersebut, peniaga terbabit telah dipanggil bagi siasatan lanjut.

“Terdapat dua kes telur kotor yang tular dalam media sosial dikesan sejak beberapa hari lalu. Satu aduan rasmi tentang telur kotor berlaku di Johor Bahru sudah diterima daripada pengguna. 

“Pengadu mendakwa penjual hanya menjual telur kotor, sekali gus sukar mendapatkan telur ayam gred kawalan seperti sebelum ini. Siasatan sedang dilakukan mengenai aduan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Ting Han (BN-Paloh) ketika menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) berkata, di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang dilaksanakan sejak 5 Februari 2022, sebanyak 6,655 pemeriksaan telah dilaksanakan dan sebanyak 235 kes diambil tindakan di bawah Akta Kawasan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Sebanyak 10 kes di peringkat peladang, 15 kes di peringkat pemborong dan 210 kes di peringkat peruncit. Jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah RM118,100,” katanya.-UTUSAN

The post Telur 12 juta tak mampu penuhi permintaan di Johor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *