SEREMBAN: Tempoh reman suspek utama dalam kejadian seorang wanita bergelar Datin yang ditemukan mati akibat dibunuh di rumahnya di Taman Paroi Jaya di sini, 23 September lalu disambung tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, permohonan perintah lanjutan penahanan reman ke atas suspek lelaki berusia 45 tahun itu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Permohonan tahanan reman ke atas Orang Yang Disiasat (OYDS) diluluskan selama tujuh hari bermula 15 Oktober (hari ini) hingga 21 Oktober depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret, Mohd. Firdaus Salleh.

Sebelum ini, media melaporkan selepas dua minggu diburu suspek utama dalam kejadian seorang wanita bergelar Datin yang ditemukan mati akibat dibunuh di rumahnya akhirnya berjaya ditahan polis.

Suspek lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di pondok tepi jalan Batu 4 Jalan Port Dickson-Teluk Kemang, Port Dickson pada pukul 1 tengah hari, 8 Oktober lalu.

Pada 23 September lalu, seorang wanita warga emas bergelar datin berusia 75 tahun ditemui mati akibat dibunuh selepas berlaku pergelutan dengan penjenayah di rumahnya di Taman Paroi Jaya di sini.

Kejadian pada pukul 8.25 malam itu berlaku ketika Datin Noraida Nordin, 75, tinggal bersama suaminya yang merupakan bekas ahli perniagaan bergelar Datuk, namun berdepan masalah penglihatan.

Siasatan mendapati terdapat kesan kecederaan pada anggota badan mangsa. – UTUSAN

The post Tempoh reman suspek kes bunuh Datin disambung tujuh hari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *