PETALING JAYA: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan telah memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lewat petang semalam.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, beliau akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan Jana Wibawa kepada SPRM lewat petang semalam dan saya akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan. Terima Kasih,” katanya dalam Facebook hari ini.

Pada Ahad lalu, Tengku Zafrul menegaskan tiada apa yang perlu disembunyikan berhubung isu dana Jana Wibawa yang membabitkan namanya dan beliau sentiasa bersedia untuk memberikan keterangan kepada SPRM jika diminta berbuat demikian.

Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak menolak kemungkinan mengambil keterangan Tengku Zafrul bagi membantu siasatan berhubung dana Jana Wibawa.

Tindakan itu dilakukan selepas agensi berkenaan memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan berhubung siasatan sama.

Perkara itu susulan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengesahkan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan itu.

Muhyiddin berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Kata beliau, ketika itu negara dilanda pandemik Covid-19 dan yang paling teruk terkesan adalah pihak-pihak kontraktor bumiputera yang amat memerlukan bantuan dan mendakwa idea Jana Wibawa datang daripada Tengku Zafrul kepada beliau dan bersetuju dibawakan kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan. – UTUSAN

The post Tengku Zafrul sahkan beri keterangan kepada SPRM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *