KYIV: Tentera Russia diarah keluar dari bandar Kherson, Ukraine, yang merupakan satu-satunya ibu kota yang ditawan sejak perang bermula Februari lalu.

Lapor portal berita BBC, Komander Russia di Ukraine, Jeneral Sergei Surovikin, menegaskan pihaknya tidak mungkin lagi terus berada di bandar itu.

Pengunduran itu bermakna tentera Russia akan berundur sepenuhnya dari tebing barat Sungai Dnipro sekali gus memberi tamparan hebat kepada barisan pertahanannya ketika berdepan serangan balas Ukraine.

Presiden Russia, Vladimir Putin membuat pengumuman penaklukan Kherson dan tiga lagi wilayah pada hujung September lalu tetapi menyerahkan kepada ketua tenteranya di Ukraine untuk memaklumkan perkembangan terbaharu itu menerusi saluran televisyen Russia.

“Dalam keadaan ini, pilihan yang paling masuk akal ialah mengatur pertahanan di sekitar garisan penghadang di sepanjang sungai Dnipro,” jelas Surovikin.

Dalam pada itu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Kyiv akan mengambil langkah berjaga-jaga dan sangat berhati-hati selepas pengumuman itu.

“Musuh tidak memberi kita hadiah, tidak membuat ‘isyarat muhibah’ bahawa kita menang semuanya.

“Oleh itu, kami bergerak dengan sangat berhati-hati, tanpa emosi, tanpa risiko yang tidak perlu, demi kepentingan membebaskan semua tanah kami dengan risiko atau kerugian yang sekecil mungkin,” ujarnya.

The post Tentera Russia ‘tercabar’ diarah berundur dari Kherson appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *