BANGKOK: Tentera membunuh enam suspek penyeludup dadah dalam satu insiden tembakan di kawasan hutan di utara Thailand.

Insiden itu berlaku berhampiran kawasan `Segitiga Emas’, lokasi pertemuan Thailand, Myanmar dan Laos yang merupakan hab penyeludupan dadah walaupun tindakan membanteras sindiket sudah dilakukan beberapa kali.

Menurut pihak berkuasa, pasukan tentera menemukan kira-kira 15 hingga 20 lelaki di daerah Fang pada waktu subuh ketika mereka melintasi sempadan dari Myanmar.

Pasukan Petugas Pha Muang yang memantau wilayah sempadan memaklumkan enam suspek penyeludup terbunuh dalam satu kejadian berbalas tembakan.

Pihak berkuasa berkata, pasukan tentera menggeledah 19 beg galas milik lelaki berkenaan dan menemukan kira-kira 300 kilogram (kg) ketamin dan tiga senjata api.

Bulan lalu, tentera Thailand membunuh 15 suspek penyeludup dadah berhampiran sempadan Myanmar.

Menurut pegawai, pasukan tentera melepaskan tembakan selepas diserang oleh kumpulan individu tersebut setelah mendapati mereka menyeludup kristal methamphetamine yang dihasilkan di Myanmar dan dihantar melalui Thailand dan Laos untuk dieksport ke seluruh Asia. – AFP

The post Tentera Thailand bunuh 6 suspek penyeludup dadah di sempadan Myanmar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *