ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) menutup kempen Liga Super musim ini dengan kekalahan kelina berturut-turut apabila sekali lagi tumpas di tangan Terengganu FC (TFC) 1-3 di Stadium Darul Aman, malam ini.

Kemenangan diraih anak-anak buah Nafuzi Zain itu juga bermakna Sang Penyu berjaya layak ke saingan AFC musim depan dengan selaku naib juara liga setelah Sabah FC tunduk 3-0 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Seawal minit pertama, benteng Sang Kenari terlebih dulu merima ancaman apabila salah seorang pemain pertahanan mereka gagal menampan bola dengan kemas hingga terlepas ke kaki pemain kebangsaan, Mohd. Faisal Abdul Halim.

Mohd. Faisal menggunakan kepantasannya untuk membawa bola ke kawasan penalti namun tolakannya berjaya ditampan penjaga gol KDA FC, Muhamad Ilham Amirullah Razali.

Hanya tiga minit berselang, Mohd. Faisal berjaya menghasilkan gol pertama perlawanan apabila rencana satu duanya dengan Petrus Shitembi berjaya melepasi kawalan pertahanan KDA FC, sebelum dia melakukan tolakan leret menewaskan Muhamad Ilham.

JDT layak ke AFC Champions League 2023 sebagai juara Liga Super, manakala Terengganu FC turut menempah slot di AFC Cup 2023 sebagai naib juara.

Tahniah diucapkan!

Satu lagi slot ke AFC Cup 2023 akan ditentukan selepas berakhirnya TM Piala Malaysia 2022.#LigaMalaysia2022 pic.twitter.com/GAI1x29odH

— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) October 15, 2022

Minit ke-16, Sang Penyu terus mengganas apabila mereka menghasilkan gol kedua menerusi bekas pemain KDA FC, Tchetche Kipre.

Gol itu terhasil apabila Kipre berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk menyambar hantaran terus Shitembi sebelum melepaskan rembatan kencang dari dalam kotak penalti untuk menggegarkan jaring pasukan tuan rumah.

Segalanya selepas itu seakan tidak menjadi buat Kedah apabila serangan dihasilkan seakan langsung tidak mengundang bahaya manakala barisan pertahanan pula bergelut untuk mengekang asakan lawan.

Malah pintu gol mereka hampir dibocori buat kali ketiga pada minit ke-40 akibat kelemahan komunikasi antara pemain pertahanan, Mohd. Akmal Zahir dengan Muhamad Ilham yang menyaksikan bola tolakan ke belakang Mohd. Akmal, hampir menerjah gawang sendiri.

Memasuki babak kedua, TFC terus menguasai perlawanan biarpun Kedah membawa masuk dua pemain baharu, Mohammad Fayadh Zulkifli serta Mohamad Heshamudin Ahmad bagi menggantikan Mohamad Al-Hafiz Harun dan Muhammad Ariff Farhan Md. Isa.

Minit ke-52, tandukan tonggak import pertahanan TFC, Pape Diakite sedikit tersasar ke kanan gawang tuan rumah manakala sepakan percuma diambil Kipre, tidak jauh dari kotak penalti lawan pada minit ke-54 juga gagal menepati sasaran.

Serangan dilancarkan TFC pada minit ke-69 juga hampir membuahkan hasil namun Mohd. Faizal gagal memanfaatkan peluang apabila rembatannya berjaya ditampan penjaga gol tuan rumah, walaupun kedua-dua mereka berada dalam kedudukan satu sama satu.

Derita Kedah bertambah pada minit ke-74 apabila Kipre yang juga kapten pasukan melepaskan rembatan deras dari dalam kotak penalti sebaik menerima hantaran pemain gantian, Mohd. Faiz Mohd. Nasir untuk gol ketiga Sang Penyu.

Minit ke-87, Kedahakhirnya berjaya mendapat gol sagu hati apabila gerakan satu dua oleh pemain import dari Ivory Coast, Dechi Marcel bersama Mahmoud Al-Mardi, membuka ruang buatnya untuk melakukan rembatan dari dalam kotak penalti sekali gus menewaskan penjaga gol TFC, Mohd. Suhaimi Husin untuk keputusan muktamad, 3-1 memihak kepada Sang Penyu. – UTUSAN ONLINE

The post Terengganu ke Piala AFC, naib juara Liga Super appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *