KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) meneruskan kemaraan dalam kempen Piala Malaysia setelah mengatasi KL City FC 3-1 dalam aksi suku akhir kedua di laman sendiri, sebentar tadi.

Kemenangan secara agregat 4-1 itu membolehkan TFC yang juga naib juara Liga Super dan Piala FA membuat perhitungan dengan Selangor FC di separuh akhir, minggu depan.

Turun selaku tuan rumah, TFC bermula garang menerusi percubaan Kpah Sherman pada minit kesembilan dan Kipre Tchetche (m-13) yang tersasar ke sebelah tepi.

Kegagalan benteng KL City mengeluarkan hantaran Faisal Abdul Halim pada minit ke-21 kemudian dihukum apabila Manuel Ott menolak masuk bola untuk gol pertama TFC.

PENYERANG Terengganu FC, Kpah Sherman (kiri) diasak oleh pemain KL City pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

KL City FC meningkatkan tekanan dan hampir mengejutkan TFC setelah Pape Diakite (m-27) tertolak bola ke arah pintu gol sendiri namun sempat dikeluarkan Alif Zakaria di atas garisan gol.

Penguasaan pelawat membuahkan hasil melalui Haqimi Azim Rosli yang tidak dikawal mudah menyambar umpanan leret Paulo Josue untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, gerakan direncana TFC banyak disekat pelawat dan hanya mampu menguji kubu lawan melalui percubaan jarak jauh Ott (m-53) dan Sherman pada minit ke-57.

MOHD. Faiz Nasir (kanan) bersaing dengan pemain KL City, Akram Mahinan. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Memasuki minit ke-62, lebih 25,000 penyokong TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kembali ceria setelah Tchetche memanfaatkan hantaran Ott untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Kemasukan Romel Morales dan J. Partiban selepas itu gagal menambah bisa KL City FC sebaliknya Sang Penyu terus menambah duka skuad kendalian Bojan Hodak.

Sherman menjaringkan gol ketiga TFC apabila memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti pada minit ke-89 sekaligus membawa TFC ke separuh akhir. – UTUSAN ONLINE

The post Terengganu, Selangor berentap di separuh akhir Piala Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *