MELAKA: Barisan Nasional (BN) perlu menerima kenyataan, bahawa rakyat mahu melihat gabungan politik berkenaan menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, justeru BN perlu memainkan peranan sebagai pembangkang yang progresif dan terus berkhidmat untuk rakyat.

Tegasnya lagi, pada masa sama total reset juga perlu dilakukan dalam parti.

“Maka kita perlu menjadi pembangkang yang progresif dan terus berkhidmat untuk rakyat dan pada masa yang sama, total reset perlu dilakukan dalam parti.

“Bukan sibuk mencari kedudukan untuk menjadi kerajaan, dengar apa yang rakyat mahu, bukan apa yang pimpinan mahu. Jika mahu kembalikan kepercayaan rakyat, maka dengarlah apa yang rakyat mahu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Di Melaka, BN tewas semua kerusi Parlimen termasuk kerusi yang dimenanginya pada PRU14 iaitu Jasin dan Masjid Tanah.

Di Parlimen Masjid Tanah, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi dimenanginya selama dua penggal dengan majoriti besar 4,411 undi.

Momentum kemenangan Pakatan Harapan (PH) pula diteruskan di dua kubu kuat mereka iaitu Parlimen Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya.

Calon PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menang dengan majoriti besar 46,420 undi jauh meninggalkan lawan daripada BN, Kon Qi Yao.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berjaya mempertahankan kerusi ditinggalkan penyandang, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dengan majoriti 8,638 undi.

Di Parlimen Alor Gajah, calon PH, Adly Zahari berjaya merampas kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 890 undi.

PN pula mencipta kejutan apabila kedua-dua kerusi ditandingi Pas di Parlimen Jasin dan Tangga Batu berjaya dimenangi mereka. – UTUSAN

The post Terima hakikat, rakyat mahu BN jadi pembangkang – Dr. Akmal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *