SAUDARA PENGARANG,

PADA 20 Mei lepas, saya telah membuat aduan dalam ruangan ini mengenai keadaan taman permainan di Taman Kantan Permai, Kajang, Selangor yang uzur dan rosak boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak.

Saya anggarkan lebih dari lima tahun tidak diperbaiki. Hampir setiap hari saya dapati kanak-kanak memenuhi taman permainan di situ meskipun peralatan permainan yang disediakan telah rosak.

Saya khuatir kanak-kanak yang bermain dengan peralatan yang rosak itu akan tercedera. Tiada buaian, jongkang-jongket, penunggang spring bahkan gelongsor sedia ada pun telah rosak dan kelihatan sangat uzur.

Keadaan tersebut boleh mengundang bahaya dan kecelakaan kepada kanak-kanak yang kerap mengunjungi taman permainan tersebut.

Yang ada cumalah gelanggang takraw yang dipenuhi remaja. Bagi kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah, hanya aktiviti berlari atau berjalan sekeliling taman yang mampu mereka lakukan.

Dengan keluasan padang yang dianggarkan sekitar 43 meter dan panjang 70 meter, saya rasa banyak kemudahan alat permainan yang boleh disediakan di situ.

Susulan dari surat pembaca yang tersiar itu, saya dapati pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) telah menukar dan menambah baik taman permainan di situ.

Setelah sekian lama kanak-kanak di kejiranan terbabit tidak menikmati kemudahan taman permainan yang sempurna, kini mereka kembali ceria.

Papan gelongsor dan jongkang-jongket yang rosak telah diganti baharu. Gelanggang takraw juga diperbaiki. Beberapa kemudahan lain seperti kerusi dan tong sampah turut ditambah.

Terima kasih atas keprihatinan pihak MPKJ dan terima kasih juga kepada akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan keluhan kami. Semoga kemudahan asas yang disediakan ini dapat dijaga dengan baik. – UTUSAN

JIRAN PRIHATIN
Kajang, Selangor

The post Terima kasih MPKJ, Utusan Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *