Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 43 tahun tersebut ditahan kelmarin dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

“Dalam serbuan yang dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 2.30 petang itu, semua suspek ditahan secara berasingan di Bandar Seri Alam, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

“Mereka ditahan kerana terlibat melakukan perbuatan khianat, iaitu dengan membakar dan menyimbah cat di rumah mangsa yang merupakan peminjam daripada sindiket ah long terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hasil soal siasat, suspek mengakui menerima bayaran sebanyak RM1,300 untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas sebuah motosikal dan beberapa peralatan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah Kulai,” katanya.

Semakan rekod lampau mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka direman selama enam hari bermula semalam hingga 16 Januari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda selain Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -UTUSAN

The post Terima upah RM1,300 simbah cat, baling molotov koktel appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *