MUAR: Kegembiraan sekumpulan sahabat mandi-manda di sungai di Kampung Parit Haji Anuar, Ayer Hitam Batu 18, Bakri, di sini petang tadi bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 20 tahun dikatakan lemas selepas terjun dari jambatan di sungai berkenaan.

Pihaknya menerima panggilan telefon daripada abang mangsa yang memaklumkan adiknya telah hanyut dibawa arus deras.

“Mangsa bersama-sama dua rakannya pergi ke lokasi itu dan semasa rakan-rakannya berusia 21 dan 22 tahun terjun dari jambatan untuk mandi di dalam sungai, mangsa juga melakukan perkara sama.

“Walau bagaimanapun, mangsa secara tiba-tiba dilaporkan terkapai-kapai dan meminta bantuan sebelum dua rakannya cuba menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi.

Namun, kedua-dua rakannya gagal menyelamatkan mangsa ekoran arus deras.

“Mangsa dikatakan hanyut dan dibawa arus kira-kira 100 meter sebelum tenggelam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, mangsa masih gagal ditemukan dan pihak bomba dengan enam kekuatan kini memperluaskan kawasan pencarian di sekitar sungai dengan menggunakan bot milik orang awam.

Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai enam unit penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Muar dan beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – UTUSAN

The post Terjun sungai, pemuda dikhuatiri lemas ketika mandi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *