KLUANG: Pemilik sebuah kedai makan tekad membuka kedainya kepada orang ramai walaupun air mula naik seawal pukul 7 pagi tadi. 

Menurut Sulastri Kasiman, 40, Restoran Bawah Kolong di Kampung Melayu 2 yang diusahakannya sejak 10 tahun itu sering dinaiki air namun kebanyakannya hanya banjir kilat sahaja. 

Namun, kali ini agak lama dan sudah melebihi lima jam air bergenang di tempat makan namun tidak menghalang orang ramai menjamu selera di kedai tersebut.

“Pekerja sudah mula memasak lauk-pauk pada pukul  5.30 pagi kerana tidak menyangka air akan naik walaupun menyedari hujan sudah mula pukul  2 pagi. 

“Selepas selesai masak, pekerja memaklumkan air sudah melimpah dari longkang di sekeliling kedai menyebabkannya mula menggelami sebahagian kawasan ruang makan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, hari ini. 

Menurut Sulastri, walaupun keadaan cuaca masih hujan, dia bercadang untuk terus membuka kedainya hingga malam.

Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd. Maizatul Nahar Johari, 43, dari Kota Tinggi berkata, makan dalam banjir tidak menjadi masalah kepada mereka. 

Malah, pengalaman seperti itu amat berharga kerana bukan mudah untuk mendapat suasana makan sambil kaki berendam dengan air. 

“Yang penting adalah lauk masakannya sedap serta banyak pilihan, makan berendam kaki berendam dengan air banjir itu adalah perkara kedua,” katanya. – UTUSAN

 

The post Terus berniaga walaupun restoran dinaiki air appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *