SURABAYA: Satu majlis perkahwinan yang diadakan di Surabaya, Jawa Timur mencuri perhatian pelbagai pihak, terutamanya pengguna media sosial.

Hal ini kerana, majlis pernikahan anak Datuk Bandar Surabaya itu menyediakan pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan untuk diberikan kepada para tetamu secara percuma.

Terdapat pelbagai sayuran disediakan seperti kacang panjang, lobak merah dan putih serta tomato.

Menerusi satu video dalam media sosial, para tetamu dilihat memilih sayuran yang ingin dibawa pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan tersebut.

Perancang perkahwinan, KamiKisah memaklumkan, majlis itu melibatkan pernikahan anak Datuk Bandar Surabaya iaitu Arjuna dengan pasangannya, Ani.

Katanya, mereka diminta oleh keluarga datuk bandar untuk mengadakan majlis perkahwinan berkonsepkan pesta rakyat.

“Bila sebut pesta rakyat, kami terfikir tentang sayuran dan buah-buahan yang pelbagai.

“Dalam majlis itu, para tetamu boleh mengambil berapa banyak sayuran dan buah-buahan yang disediakan.

“Kami lihat, para tetamu juga seronok dengan konsep tersebut yang santai dan lain dari lain,” kata Ketua Pengarah KamiKisah, Fikria.

Sementara itu, video tersebut mendapat pelbagai reaksi positif dengan kebanyakannya menyatakan mereka boleh meniru idea tersebut untuk majlis perkahwinan akan datang.

The post Tetamu diberi sayuran percuma sebagai cenderahati majlis kahwin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *