KUALA LUMPUR: 59 Inc. Sdn. Bhd. (59 Inc.), melancarkan Kota Semarak, projek pembinaan bercampur bertingkat tinggi dengan teknologi hijau pertamanya di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.09 bilion.

59 Inc. merupakan hasil usaha sama 70:30 antara TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop) dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pemain pembangunan dan pembinaan hartanah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop, Azman Ibrahim berkata, projek yang terletak di tanah seluas 10.9 hektar dan memulakan pembinaan pada tahun ini tersebut akan dibangunkan dalam tiga fasa yang terdiri daripada komponen pangsapuri perkhidmatan, pejabat kedai dan pusat beli-belah.

Beliau yang juga Pengarah 59 Inc. berkata, fasa 1A akan melibatkan 1,226 unit pangsapuri perkhidmatan, termasuk 100 unit Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) dan 87 unit pejabat kedai diunjur siap pada Februari 2027.

“Kota Semarak menawarkan reka bentuk kontemporari dan bersesuaian bagi unit-unit yang mempunyai dua hingga empat bilik tidur bersaiz antara 802 kaki persegi hingga 2,400 kaki persegi, dengan susun atur yang teliti untuk memaksimumkan akses kepada pemandangan panorama. 

“Masih awal lagi untuk kami menetapkan harga tetapi kami jangkakan harga pangsapuri perkhidmatan ini bermula dari RM570,000. Kami yakin dapat meraih jualan sehingga 50 peratus pada peringkat awal pelancaran kerana harganya agak kompetitif dengan kawasan di sekitarnya.

“Selain itu, terdapat juga 100 unit Rumawip yang berharga RM300,000 di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya pada majlis pelancaran projek tersebut di Galeria Kota Semarak, di sini semalam.

Pada majlis yang sama turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara TH Prop dan Bank Islam Malaysia Berhad untuk pembiayaan akhir dan bersama MBSB Bank Berhad untuk pembiayaan projek Kota Semarak. 

Azman berkata, Kota Semarak disasarkan menjadi sebagai batu loncatan rancangan jangka panjang untuk menyediakan persekitaran hidup yang lebih mesra alam dan lestari dalam projek akan datang. 

Ketika ditanya sama ada pihaknya terkesan dengan kenaikan harga binaan ketika ini, beliau tidak menafikan pihaknya turut menerima impak daripada kenaikan tersebut.

“Walau bagaimanapun, kami belajar daripada pengalaman semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu dan mengkaji semua kos pembangunan. Buat masa ini, kami berjaya mengekalkan kos pembinaan yang telah diperuntukkan untuk pembangunan ini,” ujarnya. -UTUSAN

The post TH Prop, MRCB lancar Kota Semarak, GDV RM3.09 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *