PETALING JAYA: Tiada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat Dewan Tertinggi BN, semalam.

“Tiada mana-mana Ahli Parlimen BN yang telah memberikan sokongan terhadap pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10.

‘Pemakluman mengenai perkara ini telah dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN juga mengambil pendirian terbuka untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan, bagi memastikan sebuah kerajaan dapat dibentuk demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan itu, BN meminta semua pihak yang berkaitan agar bertenang ketika mendepani situasi politik negara. Dengan pendirian dan keputusan yang dicapai, kedudukan BN adalah kekal seperti sekarang,” katanya.

Sejak PRU15 Sabtu lalu, tiada mana-mana gabungan mempunyai majoriti mudah. BN memperoleh 30 kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) 82, sementara PN sebanyak 73 kerusi. – UTUSAN

The post Tiada ahli BN sokong Muhyiddin sebagai PM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *