PETALING JAYA: Rekod baik yang dipegang Vietnam dalam pertemuan dengan Malaysia tidak terlalu mengujakan pengendalinya, Park Hang Seo apabila kedua-dua pasukan berentap lagi dalam saingan Piala AFF di Stadium My Dinh, malam esok.

Jurulatih dari Korea Selatan yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Naga Emas sejurus tamat kejohanan sebaliknya teruja untuk melihat apa yang mampu diberikan oleh Harimau Malaya di bawah kendalian rakan senegaranya, Kim Pan Gon.

“Sepanjang lima tahun saya di Vietnam, termasuk ketika membimbing pasukan remaja, saya tidak pernah tewas kepada Malaysia, namun ia tidak memberi sebarang bermakna dan ia hanya satu rujukan yang tidak boleh digunakan untuk menentukan perlawanan esok.

“Apa yang saya boleh katakan, saya percaya dan yakin kepada pemain kami. Kami akan memberikan persembahan terbaik menentang Malaysia dan cuba memenangi perlawanan,” katanya.

KIM Pan Gon membawa perbezaan dalam skuad Harimau Malaya.

Kata Hang Seo, di bawah bimbingan Pan Gon, Malaysia semakin menunjukkan peningkatan dan tetap pasukan yang menggerunkan biarpun hadir dalam Piala AFF tanpa ramai tonggak.

“Anda mungkin fikir Malaysia kehilangan ramai pemain tonggak tetapi jurulatih mereka mungkin tidak fikir perkara itu berlaku. Daripada apa yang saya lihat, Malaysia memiliki skuad terbaik ketika ini,” kata Hang Seo.

Sementara itu pemain tengah Vietnam, Nguyen Hoang Duc mengakui, dia baru mengetahui mengenai jurulatih Malaysia ketika Piala AFF, berdasarkan kepada dua perlawanan terakhir Harimau Malaya.

Nguyen Hoang Duc

“Saya lihat pasukan ini amat berbeza sekarang, sangat pantas dalam serangan dan mempunyai gaya yang berbeza daripada sebelum ini,” katanya.

Perlawanan esok akan menjadi pertembungan pertama antara Pan Gon dan Hang Seo, selepas Pan Gon dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Januari lalu.

Malaysia tidak pernah menewaskan Vietnam dalam semua pertandingan, dengan kalah enam daripadanya dan seri sekali. Kali terakhir Malaysia menang ialah pada perlawanan kedua separuh akhir Piala AFF 2014, menerusi kemenangan 4-2. – UTUSAN ONLINE

The post Tiada apa pada rekod, Malaysia sekarang berbeza appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *