SAUDARA PENGARANG,

MODAL insan generasi cemerlang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW yang dapat mensejahterakan umat manusia dengan memiliki kekentalan akidah, akhlak teladan, daya juang tinggi serta jiwa penerokaan hebat. Nilai kualiti ini dinyatakan sebagai elemen-elemen dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang keseluruhannya memberi impak dalam sistem pendidikan negara.

Elemen terpenting adalah melalui perkembangan potensi individu. Potensi ini dianggap kurniaan Tuhan merangkumi aspek intelektual, rohani, emosi dan fizikal.

Melalui pendidikan, potensi atau bakat semula jadi individu dapat dikembangkan dan terus ditingkatkan ke tahap optimum dengan mengintegrasikan bakat, kebolehan tersendiri dan saling berkait antara satu sama lain dikenali sebagai potensi holistik dan bersepadu.

Individu yang memiliki keperibadian bersepadu dapat menikmati kepuasan dan kebahagiaan secara rohani. Malah, melahirkan nilai bersyukur dan bersedia menerima cabaran serta mampu menyelesaikan dan mengatasi sesuatu masalah.

Sementara itu, aspek intelektual merangkumi pengetahuan kognitif, iaitu kemampuan berfikir secara logik, rasional dan mampu menyelesaikan masalah. Impak dari aspek rohani dan emosi pula merangkumi elemen-elemen seperti kepercayaan kepada Tuhan dan agama, kestabilan rohani, kecerdasan emosi, penghayatan nilai moral dan norma masyarakat, tingkah laku yang baik, kesetiaan dan kesediaan untuk berkorban demi rakyat dan negara.

Malaysia bercita-cita melahirkan warga yang berpendidikan dan cekap dengan nilai akhlak mulia. Sikap-sikap positif seperti suka membaca, rajin memperoleh dan mengaplikasikan pengetahuan bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada diri mereka sendiri tetapi juga orang lain.

Penerapan nilai-nilai moral yang tinggi dan berdisiplin disusuli amalan mulia dalam kehidupan melahirkan individu berakhlak mulia. Kepentingan intelektual tinggi bersama penerapan budi pekerti mulia mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang sejahtera.

Aspek terakhir ialah keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Persekitaran yang harmoni membantu dalam pembangunan ekonomi dan kemajuan semua bidang dan mendorong pelabur untuk melabur di negara kita dan mengembangkan industri pelancongan.

Bahagian terpenting ialah kesejahteraan masyarakat melibatkan unsur-unsur FPK dan memasukkan elemen-elemen tersebut berteraskan ajaran Islam.-UTUSAN

ANIM ZALINA AZIZAN
Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

The post Tiada guna berpendidikan tanpa akhlak mulia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *