SEPANG: Kerajaan tidak berhasrat untuk menetapkan harga siling bagi tambang penerbangan domestik memandangkan industri itu beroperasi berdasarkan amalan penetapan tambang dinamik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, isu berkenaan sudah dibincangkan sejak sekian lama namun, ia tidak boleh dilaksanakan ketika ini disebabkan beberapa implikasi jangka panjang.

Beliau berkata, jika harga siling ditetapkan, ia akan membawa implikasi negatif kepada penumpang dimana syarikat penerbangan mungkin akan mengurangkan kapasiti penerbangan mereka.

“Tiada syarikat penerbangan akan beroperasi kerana mereka mungkin akan mengurangkan kekerapan dan kapasiti penerbangan selain terpaksa menanggung kerugian.

“Berbeza dengan penetapan tambang istimewa sempena musim perayaan, ia boleh dilaksanakan berdasarkan beberapa terma yang dipatuhi bersama pengendali lapangan terbang,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman penerbangan tambahan Air Asia sempena Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.

Justeru, beliau meningatkan syarikat penerbangan supaya dapat meningkatkan kekerapan penerbangan supaya tambang penerbangan boleh dikurangkan lagi pada masa depan.

Loke berkata, bagi mengurangkan beban pelajar yang menyambung pengajian di Sabah dan Sarawak, kerajaan kini sedang memikirkan inisiatif sesuai bagi membantu golongan itu.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya memahami kekangan dihadapi syarikat untuk menambah kekerapan penerbangan sedia ada.

“Kita faham, bukan semua syarikat penerbangan mempunyai lebih 100 pesawat, malah selepas pembukaan sektor ekonomi tahun lalu, ada syarikat yang masih beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti.

“Menuju ke hadapan, dengan peningkatan jumlah trafik, saya yakin semua syarikat akan beroperasi dengan kapasiti penuh dan lebih banyak pesawat tersedia untuk penerbangan,” katanya. – UTUSAN

The post Tiada hasrat tetapkan harga siling tambang penerbangan – Anthony Loke appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *