PETALING JAYA: Bersatu menganggap tiada iltizam politik menjadi punca kegagalan menghalang persediaan Konsert Jelajah Dunia Jay Chou di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). 

Persediaan konsert berkenaan menyebabkan 21,000 tempat duduk SNBJ terpaksa dikosongkan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 berdepan Thailand, Sabtu ini.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kegagalan itu sangat mengecewakan kerana kelebihan bermain di laman sendiri sangat penting dalam pertembungan itu. 

Malah, katanya, apa yang lebih mendukacitakan apabila kegagalan itu membuatkan pasukan pelawat dapat menarik nafas lega berikutan konsert artis Taiwan itu menghalang lebih 20,000 lagi penyokong Harimau Malaya untuk hadir dan mengegarkan permainan mereka. 

“Thailand tahu kekuatan pemain ke-12 Harimau Malaya iaitu ‘Ekor!’ Apakah daya, benda sudah jadi. Tiada iltizam politik yang kuat! 

“Kalau kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) ini boleh batalkan tender untuk jimat duit, apalah sangat batalkan konsert yang jelas tidak mendapat sokongan rakyat Malaysia yang jelas mensabotaj perjuangan skuad Harimau Malaya yang membawa nama dan bendera Malaysia. 

“Macam kes-kes lain seperti tender, Kadar Dasar Semalaman (OPR), sudah ada kuasa boleh saja buat seperti dijanjikan formula itu dan ini sewaktu berkempen dulu! Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih!” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Media sebelum ini melaporkan, akaun Facebook bintang dari Taiwan itu ‘diserang’ penyokong skuad Harimau Malaya selepas isu persediaan konsertnya yang menjejaskan tempat duduk SNBJ. 

Rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati selepas selebriti yang bakal melangsungkan konsertnya pada 15 Januari ini menyebabkan mereka gagal mendapatkan baki tiket perlawanan, malam esok. 

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semalam menjelaskan, penganjur konsert jelajah dunia artis itu sudah menempah SNBJ sejak 2019 bagi mengadakan konsert sebelum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbuat demikian pada 18 Ogos lalu. – UTUSAN

The post Tiada iltizam politik punca konsert Jay Chou gagal dihalang – Bersatu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *