KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam melihat tiada keperluan untuk mengemukakan usul undi percaya bagi mengesahkan keabsahan sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk mengemukakan usul sedemikian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah namun, jika diperlukan, ia boleh dikemukakan.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, pada masa ini semua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) PBS menyokong kepimpinan Ketua Menteri.

“110 peratus, PBS masih menyokong kepimpinan Hajiji Noor,” katanya ketika mengulas tentang keperluan mengemukakan usul undi percaya terhadap Ketua Menteri Sabah.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kepala singa kepada persatuan-persatuan masyarakat Tionghua sempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Joachim berkata, khabar angin yang berlaku pada masa ini disifatkan sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan Sabah yang diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).

“Sudah tentu mereka cuba gugat kestabilan kerajaan namun, apa yang saya tahu, kita akan terus bekerja dan jika benar-benar perlu barulah kita lihat apa yang boleh dilakukan seterusnya,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan terdapat dakwaan ada pihak tertentu telah memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah kerajaan negeri yang baharu.

Menurut Masidi, Hajiji telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri yang ada sekarang. Ia termasuk kesemua tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Ellron Angin berkata, semua ADUN STAR kekal menyokong Hajiji secara sepenuhnya.

Menurutnya, beliau juga dengar khabar angin yang sama seperti yang media dengar.

Ditanya jika ada pihak yang mendekatinya, Ellron berkata, mungkin orang tidak berani kerana ADUN STAR sentiasa bersama Hajiji jadi, jangan cuba-cuba. – UTUSAN

The post Tiada keperluan usul undi percaya terhadap Hajiji appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *