IPOH: Tiada kerja-kerja pembersihan hutan berlaku di Hutan Simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar seperti didakwa penduduk dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, siasatan oleh Jabatan Perhutanan mendapati kawasan itu milik persendirian dan dibersihkan dipercayai bagi tujuan pertanian.

Katanya, kawasan hutan simpan yang didakwa berlaku pembersihan itu berada kira-kira empat kilometer dari Kampung Kepala Bendang Sayong, Kuala Kangsar.

“Berikutan aduan tersebut, pemeriksaan menyeluruh dilakukan di lokasi dan hasil semakan mendapati kawasan aduan itu terletak di luar Hutan Simpan Kledang Saiong.

“Berpandukan bacaan koordinat, aktiviti pembersihan kawasan itu melibatkan tanah beri milik iaitu tanah untuk dibangunkan. Mungkin kawasan itu dibersihkan untuk pertanian,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Insentif Kepada Kontinjen Para Sukan Malaysia XX (Para Sukma XX) di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil semakan juga mendapati, jarak kawasan aduan dan sempadan luar Hutan Simpan Kledang Saiong pada kedudukan 1.5KM.

“Aduan itu sebenarnya tidak berasas namun Pejabat Perhutanan Kuala Kangsar akan terus membuat pemantauan seperti biasa.

“Apa pun kita ucap terima kasih kepada mereka yang prihatin berhubung perkara itu, cuma kebimbangan itu tidak berasas kerana ia di luar kawasan hutan simpan dan kerja-kerja pembersihan dibuat oleh tuan tanah,” katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa English melaporkan kebimbangan penduduk kampung berhampiran Salak Utara yang terkejut apabila mendapati lebih 200 hektar pembersihan tanah didakwa dilakukan di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Kerja-kerja pembersihan itu dikesan selepas penduduk kampung mendengar bunyi bising berhampiran kebun mereka sebelum mendapati terdapat jentera berat di kawasan berkenaan melalui tinjauan dron. – UTUSAN

The post Tiada pembersihan hutan di Kledang Saiong appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *