ARAU: Impak akar umbi boleh dinilai semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sama ada mereka menyokong atau sebaliknya kepemimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan akan datang.

Sekiranya prestasi UMNO lebih buruk dengan kalah lebih teruk dalam PRN di enam negeri itu, ia bakal menjadi isyarat kesan tindak balas akar umbi yang menolak Ahmad Zahid sekali gus memberi kesan lebih teruk kepada parti.

Bagaimanapun, jika UMNO berjaya menunjukkan prestasi cemerlang ia petanda positif terhadap kepemimpinan Ahmad Zahid.

Pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, keputusan tidak mempertandingkan jawatan tertinggi parti dalam pemilihan bukan perkara baharu atau mengejutkan.

Namun, menurut beliau, apa yang menjadi isu besar ketika ini adalah pencapaian UMNO di bawah Ahmad Zahid sehingga menyaksikan mereka hanya menang 26 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, dalam PRU14, ketika UMNO atau Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan, Presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungjawab mengundur diri sekali gus membuka ruang kepada pemilihan jawatan tertinggi itu.

“UMNO di bawah Ahmad Zahid ketika ini sangat lemah dengan hanya menang 26 kerusi selain terpalit isu mahkamah beliau namun masih memegang tampuk kepemimpinan.

“Kalau dalam PRN nanti UMNO dapat kembali semula meraih sokongan rakyat atau menang ia akan memberi kesan positif kepada kepemimpinan Ahmad Zahid.

“Kalau kalah lebih teruk ia akan menjadi masalah lebih besar kepada Ahmad Zahid dan UMNO sendiri,” katanya.

Baru-baru ini akhbar ini melaporkan, Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO setelah perwakilan meluluskan usul kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu akan datang.

Keputusan itu dicapai setelah majoriti perwakilan bersetuju terhadap cadangan agar
Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan menerusi satu usul tambahan oleh wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd. Shukri Shamsudin kelmarin.

Ini setelah undian dibuat melibatkan kira-kira 5,523 perwakilan yang bangun berdiri menyokong usul itu melebihi jumlah yang tidak menyokong.

Kelmarin, cadangan usul tambahan itu mendapat reaksi berbeza para perwakilan apabila termasuk melibatkan daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Johor menolak usul tersebut dan mahu kedua-dua jawatan berkenaan dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, impak terhadap UMNO atau barisan kepemimpinan tertinggi parti itu boleh dilihat jika proses demokrasi berlaku iaitu membabitkan pertandingan dua jawatan tertinggi itu.

“Namun ia tidak dapat dilihat apabila tidak berlaku pertandingan. Impak akan dapat dilihat dalam PRN bagaimana akar umbi menterjemahkan tindak balas mereka,” katanya.- UTUSAN

The post Tiada pertandingan jawatan tinggi UMNO, impak ketika PRN appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *