TAPAH: Tiada penolakan senyap oleh pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang bertanding di Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebelum penamaaan calon mungkin berlaku sedikit isu kerana Asyraf Wajdi adalah calon luar.

Bagaimanapun, menurut beliau,  Ketua Pemuda UMNO itu kini sudah diterima oleh pengundi dan UMNO Bahagian Gerik.

“Dulu mungkinlah kata ada sedikit kekecohan kerana calon  dibawa itu bukan calon tempatan. Waktu itu sebelum penamaan calon tetapi kekecohan itu sudah ditangani. 

“Dua hari lalu, saya pergi ke Kampung Jong (Parlimen Gerik) untuk memberi sumbangan dan berkempen, saya sempat menyelami masyarakat di situ untuk melihat kemungkinan penolakan atau silent protest terhadap Datuk Asyraf Wajdi. 

“Namun daripada cara masyarakat Gerik dan jentera BN bersama-sama turun padang untuk memastikan BN memperoleh kemenangan, tiada sebarang penolakan atau masalah terhadap calon Parlimen Gerik,” kata beliau selepas merasmikan Balai Desa Semai Kampung Orang Asli Sungai Lah di Chenderiang di sini hari ini.

Saarani yakin BN akan mengekalkan kerusi Parlimen Gerik walaupun sebelum ini berlaku isu calon luar.

“Kalau dahulu orang kata Gerik kerusi kawasan kelabu kerana ada kekecohan tetapi disebabkan tiada masalah dalaman sekarang, ia sudah jadi kerusi putih,” katanya. 

Sebelum ini, kehadiran Asyraf Wajdi sebagai calon BN di Parlimen Gerik dikatakan ditolak kerana beliau bukan calon tempatan.

Malah, veteran UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan Parlimen Gerik dan Pasir Salak sebagai kerusi bermasalah dari segi faktor calon.

Namun katannya, BN tetap boleh menang di Gerik kerana pengundi luar bandar berpegang pada lambang namun tetap meletakkan Gerik sebagai kerusi ‘kelabu’. – UTUSAN

The post Tiada protes senyap terhadap Asyraf Wajdi – Saarani appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *